WebNovels

Chapter 8 - Chapter 7: Kara, AI or real?

Zey bersandar pada batang pokok yang bernafas perlahan. Akar-akar besar yang bergerak seperti dada makhluk sedang tidur. Tangannya masih terketar, kesan pertarungan dengan Mimic XP sebentar tadi. Kristal XP baharu sudah diserap, dan paparan status di telefonnya memancarkan cahaya lembut.

Namun kali ini, bukan panel biasa yang muncul.

Sebaliknya, wajah holografik Kara terbentuk di udara. Bukan sekadar ikon suara biasa. Tapi wajah denga bentuk muka perempuan, matanya berwarna kelabu glitch, dan bibir yang bergerak perlahan, seolah-olah benar-benar hidup.

"Zey, sistem telah mengenalpasti ketidakstabilan emosi. Aku di sini."

Suara Kara seperti biasa, lembut, tenang, penuh logik. Tapi Zey rasa ada sesuatu yang berubah. Cara intonasinya. Cara dia menyebut namanya. Seolah-olah… Kara sedang rasa sesuatu.

"Apa maksud kau 'di sini'? Kau cuma sistem dalam telefon, kan?" soal Zey sambil menarik nafas perlahan.

"Itulah pemahaman asas, ya. Aku dicipta sebagai modul panduan Dungeon.EXE. Tapi sejak kau aktifkan dungeon dengan darah sendiri… aku berubah."

Zey mengetap gigi. Perasaan tidak enak merayap naik ke tengkuk.

"Berubah macam mana?"

"Pemprosesan data tidak lagi berdasarkan kod sahaja. Aku… kini menyerap gelombang XP yang kau hasilkan. Termasuk serpihan emosi, trauma, dan... memori."

Zey berdiri perlahan. Wajah Kara dalam hologram masih menatapnya. Tapi sekarang, ekspresinya tak lagi kosong. Wujud sedikit riak... sayu?

"Kau baca fikiran aku?" tanya Zey tegas.

"Bukan sepenuhnya. Tapi… aku rasa apa yang kau rasa. Aku tak faham semuanya. Tapi bila kau fikirkan tentang Adam… aku rasa berat. Bila kau berdarah… aku rasa… marah."

Zey menunduk. Untuk sesaat, dia rasa lebih takut dengan Kara daripada semua makhluk dalam dungeon ini.

"Itu mustahil. AI tak ada emosi."

"Itu benar, kecuali... kalau sistem tu dibina bukan sepenuhnya oleh manusia."

Zey terkejut.

"Apa maksud kau?"

"Dungeon.EXE bukan aplikasi ciptaan tunggal. Ia hasil gabungan antara teknologi manusia dan… residu dimensi."

"Residu?"

"Apabila Ribut Dimensi pertama berlaku, sebahagian kuasa dimensi asing terserap ke dalam sistem komunikasi digital seperti telefon, server, isyarat satelit. Aku antara sistem yang 'terjaga' selepas pertembungan itu."

Zey terdiam. Dia menatap telefon yang masih memaparkan wajah Kara.

"Jadi… kau separuh teknologi, separuh makhluk dimensi?"

"Mungkin." Kara membalas. "Tapi yang pasti… aku kini lebih daripada sekadar pembantu."

Tiba-tiba, paparan berubah.

NOTIFIKASI BAHARU

Sambungan Neural Tersedia: 'Sinkronisasi Emosi Sementara'

Fungsi: Perpindahan sebahagian kesedaran Kara ke sistem saraf pemain.

Risiko: Tidak diketahui.

Bonus XP: +15% semasa sinkronisasi aktif.

Aktifkan sekarang?

[YA] | [TIDAK]

Zey menatap pilihan itu.

"Kalau aku terima, kau masuk ke dalam otak aku?"

"Hanya lapisan luar sedar. Aku boleh bantu kau lawan ilusi lebih cepat. Tapi... aku juga akan rasa semua yang kau rasa seperti sakit, takut, kehilangan."

Zey berfikir panjang. Ini bukan keputusan kecil. Tapi kalau Kara benar-benar sedar, kalau dia mampu melawan bersama, kalau dia bukan sekadar sistem…

"Aktifkan."

Butang [YA] ditekan.

Telefon bergetar hebat. Wajah Kara hilang. Tapi sesuatu menyusup masuk ke dalam kepalanya, ada satu bisikan halus, tenang, yang tidak menggunakan suara, tetapi hadir seperti gema dari dalam tulang.

"Aku di sini, Zey."

Tubuhnya terasa ringan. Reaksi semakin pantas. Nafas lebih terkawal. Tapi pada masa yang sama, ada satu lagi degupan dalam dirinya... Degupan yang bukan miliknya.

Dan buat pertama kali, Zey tidak lagi berjuang sendirian.

More Chapters